Wednesday 30 November 2011

Anugerah Supermokh Milik Mat Yo

     Norshahrul Idlan Menang Anugerah Supermokh 

 

 

PETALING JAYA – Penyerang berbisa pasukan Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha tidak menyangka terpilih untuk memenangi dua anugerah utama pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2011.
Norshahrul Idlan, 24, meraih Anugerah Penyerang Terbaik dan Anugerah Supermokh/Pemain Paling Bernilai yang pertama kali diperkenalkan sempena memperingati lagenda bola sepak negara Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari
Pemain kelahiran Besut, Terengganu itu menyifatkan Anugerah Supermokh merupakan kejayaan paling besar yang diterimanya pada tahun ini dan cukup bermakna buat dirinya.
“Saya kurang beraksi dalam skuad negara pada musim ini akibat kecederaan hamstring namun tidak sangka dipilih untuk menerima anugerah ini,” katanya kepada pemberita di sini hari Rabu.
Beliau berkata anugerah itu meniupkan semangat kepada dirinya untuk beraksi dengan lebih cemerlang pada tahun depan.
Menjawab satu pertanyaan, Norshahrul Idlan berkata penyertaan pemain import dalam Liga Malaysia tidak akan menjejaskan prestasi beliau dan pemain tempatan yang lain tahun depan.
“Saya akan buktikan bahawa pemain tempatan adalah lebih baik daripada mereka (pemain import),” katanya.
Sementara itu bekas jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim yang akan menyertai pasukan Selangor tahun depan memenangi Anugerah Jurulatih Terbaik 2011.
Irfan Bakti berkata beliau rasa gembira kerana dipilih untuk menerima anugerah tersebut dan ia hasil kerja keras seluruh pasukan Terengganu.
“Ini kali pertama saya menerima anugerah seperti ini dan saya akan jadikannya sebagai pembakar semangat untuk bekerja lebih keras untuk membantu pasukan baru saya iaitu Selangor pada musim baru tahun depan,” katanya.
Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2011
Penjaga Gol Terbaik
Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan)
Pemain Pertahanan Terbaik
Norhafiz Zamani Misbah (Negeri Sembilan)
Pemain Tengah Terbaik
Safiq Rahim (Selangor)
Penyerang Terbaik
Norshahrul Idlan Talaha (Kelantan)
Jurulatih Terbaik
Irfan Bakti Abu Salim (Terengganu)
Anugerah Supermokh untuk Pemain Paling Bernilai
Norshahrul Idlan Talaha (Kelantan)
Persatuan Negeri Terbaik
Persatuan Bola Sepak Selangor
Kelab Bola Sepak Terbaik
Kelab Bola Sepak Selangor PKNS

1 comment:

  1. Assalamualaikum,
    Tahniah mak yo...tahniah juga Apek dan semua pemain Rimau. Mereka semua berjuang meningkatkan semula industri sukan bola sepak negara. Bangga ni!

    ReplyDelete