Sunday 27 November 2011

"Senyum Tak Perlu Kata Apa-Apa"

                               ANAK didik Kim Swee kecewa tumpas kepada Bahrain pada kelayakan Olimpik    2012 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi. - Foto Yazit Razali

 Tiga mata yang digenggam sepanjang 80 minit pertama lenyap dalam lima minit: Kim Swee
 SUKAR buat jurulatih skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee menelan kekalahan 3-2 di tangan Bahrain dalam saingan kelayakan Kumpulan C 2012 malam tadi apabila tiga mata yang digenggam sepanjang 80 minit pertama lenyap dalam tempoh lima minit.

"Saya tidak tahu nak cakap apa, dalam lima minit segalanya berubah," kata Kim Swee dalam sidang media selepas perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi. "Dua gol yang kita peroleh sia-sia selepas kehilangan Affize (Faisal) dan Nazmi (Faiz Mansor).
"Saya tidak punya banyak pilihan pada baki 20 minit terakhir selepas Affize cedera dan Nazmi kekejangan otot. Saya terpaksa meletakkan Shukor (Jusoh) dan penyerang, Ferris (Danial) di bahagian tengah dan ternyata kita gagal mengekang asakan Bahrain walaupun mereka bermain dengan 10 orang.
"Malah Irfan (Fazail) terpaksa menghabiskan permainan dengan buku lali yang tercedera dan ini menunjukkan betapa terdesaknya saya dalam minit-minit terakhir permainan. Walaupun sukar untuk layak, saya harap baki permainan ini digunakan pemain untuk belajar."

"Saya mahu pemain saya rehat secukupnya selepas perlawanan ini.
"Bagi saya pemain sudah memberikan yang terbaik dan saya mahu mereka melupakan bola sepak seketika."

Sementara itu, jurulatih Bahrain, Salman Shareeda menganggap perlawanan malam tadi cukup menarik dengan lima gol dijaringkan dan dia menganggap, Malaysia dan Bahrain adalah pemenang selepas masing-masing beraksi cemerlang.
"Cuma di dalam bola sepak kita perlu bermain hingga 90 minit dan walaupun kami ketinggalan dua gol, semangat juang anak buah saya untuk memburu tiga mata selepas tewas di tangan Syria dan Jepun, membawa hasil lumayan," kata Salman.

Selepas mendahului 2-0 menerusi Nazmi (m-30) dan Mahali Jasuli (m-67), Malaysia dikejutkan tiga gol pelawat dalam tempoh lima minit hasil jaringan Saad Saiah Al-Amer (m-81) dan Isa Ahmed Muthanha (m-85, 86).






 
 

No comments:

Post a Comment